28 Februari 2024 – Malam ini saya hadir meraikan pemain-pemain industri pada Majlis Melaka Industrial Night sebagai tanda manifestasi penghargaan Kerajaan Negeri Melaka terhadap syarikat dan pemain industri yang telah banyak menyumbang khususnya dalam sektor pembuatan di Negeri Melaka.
Yang hadir sama; YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI); YB Datuk Wira Ibrahim Durum, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka; dan YB Datuk Wira Zaidi Bin Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.
Majlis ini adalah komitmen Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran saya untuk mewajah ekonomi negeri ini ke arah “business and investor friendly state”, dengan membawa masuk lebih banyak pelabur-pelabur ke negeri Melaka.
Saya amat berbesar hati apabila berpeluang bersemuka dengan pengarah-pengarah urusan dan pengurus besar daripada 40 buah syarikat SME dan syarikat multinasional (MNC), syarikat juruperunding dan syarikat yang terlibat dengan rantaian bekalan sektor pembuatan di negeri Melaka.
Kerajaan Negeri Melaka telah meletakkan sasaran nilai pelaburan diluluskan di negeri ini sebanyak RM10 bilion pada tahun ini dengan memfokuskan dalam industri elektrik dan elektronik; automotif; aeroangkasa; minyak dan gas; teknologi boleh diperbaharui; industri halal; bioteknologi; mesin dan peralatan; farmaseutikal; dan maritim.